Saya Anti Rasuah! (^_^)

11:33:00 pm Yana Yani 2 Comments

Ketika terbaca blog Kaki Sembang tentang Anggota Polis Cuba Minta Rasuah. Aku teringat peristiwa yang pernah terjadi kepada aku dan Encik suami (tunang ketika itu).

Ketika itu kami berdua sedang rancak membuat persiapan akhir untuk majlis perkahwinan kami. Seperti yang dijanjikan, encik suami mengambil aku pulang dari kerja (ketika itu) berhampiran Klang Parade menuju ke Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Kami melalui Persiaran Rajawali untuk memasuki Lebuhraya Persekutuan. Baru sahaja melepasi bulatan Berkeley dan memasuki lebuhraya tersebut, kami ditahan oleh seorang anggota polis trafik yang kebetulan lalu bersebelahan kami.

"Habislah" kata encik suami sambil menepuk dahi. "Melayanglah 300 ni" kata aku dengan muka yang agak cuak. Dengan langkah yang gagah encik polis menghampiri kereta yang dipandu encik suami sambil membawa buku saman. Sampai sahaja di pintu kereta, encik polis dengan confident terus kata, "Saya Anti Rasuah!" sambil menunjuk lencana yang beliau pakai di dada.

Gambar hiasan
"Kesalahannya pemandu dan penumpang tak pakai sit belt!" sambung encik polis.

Berpeluh rasa badan bila dengar dia kata macam itu. "Sekarang apa kamu nak cerita?" tanya beliau kepada encik suami.

"Tolonglah encik, saya baru..." belum pun sempat encik suami menghabiskan ayat tersebut, encik polis terus pintas, "Tadi saya baru saman sorang awek cun!

"Kesalahan dia sama juga, tak pakai sit belt sama macam kamu berdua" tambah beliau sambil menunjukkan buku saman yang tertera nama seseorang dengan kesalahan yang dilakukan.

"Dia orang Perak! Sama macam saya" sambung beliau. Kami berdua hanya diam membisu mendengar bebelan beliau. Dalam hati terfikir juga, "Apa kena mengena orang Perak dengan saman?" Lepas itu dia sambung lagi, "Jamal Abdillah pun orang Perak. Saya minat sangat dengan dia"

Dengan tak disangka beliau berkata, "Saya nak nyanyilah!" 

Believe it or not, dia memang betul-betul menyanyi di tepi Lebuhraya Persekutuan sambil diperhatikan kenderaan yang lalu lalang! Aku tak begitu pasti sama ada lagu yang beliau nyanyikan itu lagu Jamal Abdillah ke tidak. Tapi yang pasti, aku hampir tergelak tapi cuba tahan seboleh mungkin.

Hampir setengah minit beliau menyanyi, tiba-tiba beliau berhenti dan terus tanya, "Sedap tak suara saya?" Serentak kami jawab, "Sedap!"

"Kamu berdua ni kalau ye pun nak bercinta, pakailah sit belt" kata encik polis. "Ye encik" jawab encik suami. "Dah, elok-elok bawa kereta" sambil beliau terus berlalu meninggalkan kami yang kebingungan. Encik suami pandang aku, aku pandang encik suami. Lepas itu kami tergelak besar dalam kereta. "Sempoilah polis ni" kata encik suami.   

Aku pasti warga jati Klang mengenali encik polis tersebut. Biasanya beliau bila mengawal lalu lintas, beliau akan menari "moon walk". Walaupun tidak sehebat Tony Lepore, polis trafik yang popular di Providence dengan pelbagai aksi tarian ketika mengawal lalu lintas. Aksi encik polis tersebut sudah cukup untuk mengukir senyuman dan menceriakan sesiapa yang melihat.

   
Malangnya, aku tak pernah lagi melihat encik polis tersebut. Tapi yang pasti, peristiwa yang aku alami itu tidak pernah luput dari ingatan. (^_^)

2 comments:

PERHATIAN:

Penulis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang ditinggalkan. Setiap komen yang ditinggalkan adalah pandangan peribadi anda sebagai pembaca dan tidak menggambarkan pendirian penulis.

Penulis mempunyai HAK untuk tidak menyiarkan sebarang komen yang berunsur PENGIKLANAN, RACISM, LUCAH atau yang sewaktu dengannya.

Dengan membaca dan meninggalkan komen, penulis menganggap anda sudah MEMAHAMI kesemua yang tercatat di dalam PENAFIAN

Untuk sebarang cadangan atau pertanyaan, klik HUBUNGI SAYA

✿ Yana Yani ✿

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...