Pelajar SMK Telok Panglima Garang Menyertai Program Kembara Jom Jimat Elektrik
Pelajar SMK Telok Panglima Garang Menyertai Program Kembara Jom Jimat Elektrik | Pada 27 Julai 2017 yang lalu, seramai 26 orang pelajar dan tiga orang guru pembimbing dari SMK Telok Panglima Garang (SMKTPG), Kuala Langat, Selangor telah berkunjung ke Taman Seri Medan yang terletak di Telok Panglima Garang untuk menjayakan program Kembara Jom Jimat Elektrik bersempena pertandingan Toyota Eco Youth (TEY) 2017. Apa yang membanggakan, SMKTPG telah terpilih mewakili negeri Selangor dalam program tersebut bagi peringkat kebangsaan.Program Kembara Jom Jimat Elektrik ini telah dijayakan oleh pelajar SMKTPG yang terpilih selama tiga bulan. Kumpulan mereka dikenali sebagai Team Eco Panglima.
Team Eco Panglima bersama guru pembimbing, Pn. Norazimah yang berdiri dua dari kanan |
Tujuan utama program Kembara Jom Jimat Elektrik ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada penduduk Taman Seri Medan tentang kesan penggunaan elektrik yang berlebihan kepada alam sekitar. Ramai yang tidak menyedari bahawa penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan adalah antara punca kepada pemanasan global di mana ia turut mengganggu sistem cuaca dan iklim di negara kita. Sama ada kita sedar atau tidak, iklim Khatulistiwa yang dahulu dikenali sebagai iklim panas dan lembap sepanjang tahun kini tidak lagi berada pada paras yang normal akibat berlakunya peningkatan suhu ini.
Atas kesedaran itu, Team Eco Panglima mengambil langkah dengan menerangkan situasi ini dengan harapan ia mampu memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kesan negatif terhadap penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan. Malahan Team Eco Panglima juga turut memberi tips kepada penduduk Taman Seri Medan untuk menjadi pengguna yang bijak.
Bersama salah seorang penduduk Taman Seri Medan ketika menjalankan soal selidik |
Puan Norazimah Abd Talib yang ditugaskan sebagai guru pembimbing kepada Team Eco Panglima ketika ditemui berkata, "Kami telah menyebarkan risalah tentang penggunaan serta kepentingan penjimatan elektrik kepada para penduduk di Taman Sri Medan tersebut. Disamping itu, kami juga menerangkan cara-cara untuk menjimatkan elektrik, seterusnya mengurangkan kadar bayaran bil elektrik"
Tambah Puan Norazimah Abd Talib, "Melalui pemerhatian dan maklumat yang kami peroleh ketika pertama kali beramah mesra bersama para penduduk Taman Sri Medan, kadar bayaran bil elektrik mereka mencecah sehingga RM200 ke RM500. Walau bagaimanapun,kami telah mencadangkan beberapa langkah untuk mengurangkan jumlah bil tersebut. Lawatan kali kedua pada bulan Julai, kami memperoleh keputusan yang agak mengejutkan di mana terdapat penduduk yang berjaya mengurangkan jumlah bil mereka daripada RM500 kepada RM200 ke atas dengan menggunakan langkah-langkah yang dicadangkan oleh kami."
Bunting Kembara Jom Jimat Elektrik di Taman Seri Medan |
Puan Norazimah Abd Talib mengakhiri wawancara dengan berharap agar lebih ramai lagi penduduk di Taman Seri Medan dapat mengurangkan kadar bayaran bil elektrik mereka disamping dapat mengurangkan kesan penggunaan elektrik yang berlebihan kepada alam sekitar.
YY secara peribadi juga sangat menyokong program seperti ini. Selain membina keyakinan diri kepada pelajar untuk beramah mesra dengan penduduk setempat, ia juga memberi kesedaran kepada mereka kepentingan melakukan penjimatan elektrik. Diharap akan ada banyak lagi program seperti ini akan diadakan di masa hadapan..
wow bestnyaaaaaaa
ReplyDeleteNak join jugalah yy
ReplyDeleteanak buah akak pun sekolah kat sini nih
ReplyDelete